OLEH: MAHATHIR ALI
PEKAN, 20 MEI 2021: Nasib mangsa kebakaran, Puan Nasiah Derus, 57, di Kampung Bangkong, Paloh Hinai di sini mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang tampil menghulurkan sumbangan semalam.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar.
Menurut YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, beliau telah menyampaikan sumbangan segera berupa tilam, dapur gas, barang makanan, selimut, tikar dan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran berkenaan.

“Sumbangan daripada Kerajaan Pahang, Ahli Parlimen Pekan dan sumbangan peribadi saya ini merupakan bantuan awal bagi meringankan beban mereka.
“InsyaAllah, saya bersama kepimpinan di Bebar akan memberi perhatian selanjutnya selepas ini agar mereka sekeluarga kembali mempunyai rumah sendiri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun menziarah mangsa dalam masa yang singkat bagi mematuhi SOP COVID-19, beliau sempat mengingatkan masyarakat Orang Asli di kawasan sekitar agar sentiasa serius mematuhi segala SOP yang ditetapkan.
“Sentiasalah memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan kerap, jaga kebersihan dan kesihatan serta janganlah berkumpul atau pergi ke tempat ramai orang.
“Ketika ini wabak COVID-19 di negeri Pahang dan seluruh negara semakin menjadi-jadi dan amat membimbangkan kita semua. Hari demi hari kes kematian akibat wabak ini semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap semua masyarakat Orang Asli di Bebar dan di seluruh Pahang mendaftar untuk mendapatkan Vaksin COVID-19 dengan segera serta terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan. – PAHANGMEDIA