Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG TITAH ADAKAN SOLAT HAJAT, DOA SELAMAT UNTUK PALESTIN

KUANTAN, 16 MEI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di Negeri Pahang mengadakan Solat Hajat serta doa selamat selepas Solat Maghrib pada 17 Mei 2021 bagi sama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, KDYMM Tuanku juga menyeru pelaksanaan Solat Hajat dan doa selamat tersebut dilakukan di kediaman masing-masing bagi rakyat di negeri ini yang tidak berkesempatan ke masjid dan surau kerana had jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga berkata, KDYMM Tuanku menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan rejim Zionis Israel yang telah melakukan pencerobohan dan menyerang Masjid Al-Aqsa serta Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak telah terkorban dan cedera.

“Baginda menyifatkan serangan tersebut sebagai perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan, malah Baginda juga menyeru kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersaama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Pekan, hari ini.

YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal juga berkata, Baginda turut menzahirkan sokongan terhadap kenyataan media KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dikeluarkan Istana Negara pada hari ini agar Kerajaan Malaysia menerajui dan bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Beliau juga berkata, KDYMM Tuanku berharap isu pencerobohan dan peperangan ini dapat dihentikan dengan segera.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds