Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 MEI 2021: Kerajaan Pahang bercadang untuk membangunkan kawasan Jalan Wong Ah Jang di sini bagi memutihkan semula kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata pihaknya akan menjalankan aktiviti bagi menarik orang ramai ke kawasan ini.
“Antara cadangan awal mungkin kita nak bina pasaraya di sini supaya orang sentiasa datang ke kawasan ini.
“Bila orang ramai datang ke sini, kita harapkan mereka yang berada di kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan maksiat ini akan berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Pek Makanan Raya Bagi Petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pusat Gelandangan Jalan Wong Ah Jang di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Penyelaras Dewan Negeri Teruntum, YH Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar.
Menurut beliau lagi, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan jalan terbaik yang perlu diambil bagi memastikan kawasan ini dapat diputihkan kembali.
“Kita akan mencari jalan apa aktiviti yang terbaik untuk dijalankan di masa akan datang dan perkara ini saya akan laporkan kepada YAB Menteri Besar Pahang yang sangat mengambil berat tentang anak-anak yang berada di sini.
“Usaha ini juga akan dibuat secara berterusan di mana program ini telah digerakkan oleh YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti kepada anak-anak gelandangan dan mereka yang menginap di sini.
“Saya juga diarahkan oleh YAB Menteri Besar untuk mengadakan program di kawasan ini bukan sahaja untuk sehari dua tetapi secara berterusan sehingga kawasan ini menjadi kawasan putih nanti,” katanya.
Pada majlis berkenaan beliau menyampaikan 300 pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pusat Gelandangan Jalan Wong Ah Jang, dan petugas di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. -PAHANGMEDIA