Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 MEI 2021: Hanya 10 minit masa dibenarkan kepada pemandu bas dan penumpang untuk transit di Terminal Sentral Kuantan (TSK) buat sementara waktu berikutan semua operasi di terminal tersebut ditangguhkan buat sementara waktu bermula 13 Mei lalu.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, operasi yang ditangguhkan sepenuhnya ini melibatkan pergerakan keluar bas dan jualan tiket selepas diarahkan oleh pihak berkuasa akibat penularan wabak COVID-19.

“Buat masa sekarang proses sanitasi sedang dilaksanakan di TSK dan semua operasi bas di TSK kita hentikan.
“Kita pun telah selaraskan dengan syarikat-syarikat bas, jadi mana-mana yang menurunkan penumpang di TSK kita benarkan tetapi hanya di luar kawasan terminal berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Pek Makanan Raya Bagi Petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pusat Gelandangan Jalan Wong Ah Jang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Penyelaras Dewan Negeri (DN) Teruntum, YH Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar.
Beliau berkata, kesemua semua penumpang yang diturunkan juga perlu meninggalkan kawasan terminal dengan kadar yang segera.
“Kita pun dah lama berhubung dengan semua syarikat-syarikat bas kalau daripada kawasan berisiko macam Kelantan, kita akan kurangkan jumlah bas yang masuk bagi mengawal risiko penularan (COVID-19).
“Setakat ini semua pengusaha bas faham dan menerima keputusan ini dengan baik,” katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan langkah awal yang diambil oleh syarikat Energetic dalam memastikan tiada penularan dalam kalangan pekerja di TSK berlaku.
“Setakat ini Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilakukan oleh pihak pengendali sangat memuaskan.
“Tindakan penguatkuasaan SOP akan kita pertingkatkan bagi memastikan penumpang yang masuk ke TSK tidak membawa wabak ini ke kawasan kita,” katanya. -PAHANGMEDIA