Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 10 MEI 2021: Penduduk kuantan yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tegas ini diambil bagi mendidik masyarakat agar sentiasa peka dan mengambil berat terhadap penularan wabak COVID-19 ini.

“Tindakan perlu diambil kerana didapati terdapat masyarakat yang masih menganggap bahawa pandemik ini adalah perkara biasa-biasa sahaja, kerana itulah kes terus meningkat. Kita mahu kawal agar tidak terlewat, jadi, elok kita mula daripada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.
Hadir sama, barisan EXCO Kerajaan Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Beliau berkata, ini merupakan waktu yang sesuai untuk pihak Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius memandangkan terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak cakna terhadap wabak tersebut sehingga menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan di negeri ini setiap hari.

“Jangkitan ini hanya dapat diputuskan sekiranya kita semua mematuhi SOP yang telah ditetapkan, insyaAllah, kita jaga penjarakan fizikal dan jangan pergi ke tempat yang sesak, apa yang dilihat adalah kesedaran ini masih lagi rendah,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang pada petang ini bagi menentukan SOP sambutan Aidilfitri. – PAHANGMEDIA