Pihak berkuasa sedang melaksanakan pemeriksaan di PKPD Tanah Putih Baru.
PENDUDUK TANAH PUTIH BARU YANG KELUAR SEBELUM PKPD DIMINTA TAMPIL BUAT SARINGAN COVID-19
Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 8 MEI 2021: Penduduk Tanah Putih Baru di sini yang keluar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan taman perumahan berkenaan pada 5 Mei diminta tampil membuat saringan COVID-19 pada Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mereka boleh datang ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk membuat saringan berkenan.
“Justeru saya ingin menyeru kepada penduduk yang keluar daripada taman ini ketika pelaksanaan PKPD dilaksanakan supaya tampil segera membuat saringan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan pemantau di kawasan PKPD Tanah Putih Baru di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika melakukan pemantauan di PKPD Tanah Putih Baru.
Kluster Tanah Putih Baru dilihat sebagai Kluster yang paling cepat merebak berdasarkan kes jangkitan bermula pada 5 Mei hingga 7 Mei mencatatkan 108 kes dan 57 adalah daripada Kluster ini.
Terdapat dua kes kematian dilaporkan daripada kluster ini yang melibatkan mangsa berumur 69 tahun dan 88 tahun.
PKPD Tanah Putih Baru ini melibatkan seramai 3,900 orang penduduk dengan 780 buah rumah.
Sementara itu beliau berkata, aktiviti ekonomi dikawasan PKPD Tanah Putih Baru adalah berjalan seperti biasa iaitu melibatkan perkhidmatan penting seperti kedai runcit, kedai makan dan lain lain dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kedai makan dibenarkan beroperasi dengan makanan hanya dibenarkan dibawa pulang sahaja. Bagi mereka yang perlu hadir bertugas atas tuntutan kerja, majikan diminta menyediakan dokumen lengkap sebagai bukti,” katanya.
Pihak polis boleh mengeluarkan kompaun ke atas individu yang gagal mematuhi arahan untuk membuat ujian saringan ini. – PAHANGMEDIA