KUANTAN, 26 FEBRUARI 2020: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan melaksanakan Operasi Waran Tangkap bagi kesalahan meletak kenderaan melibatkan pesalah-pesalah di sekitar Kuantan.
MPK dalam satu kenyataan berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan selama dua hari bermula hari ini.
“MPK telah menerima perintah waran tangkap daripada pihak Mahkamah Kuantan bagi kesalahan meletak kenderaan melibatkan pesalah-pesalah di sekitar Kuantan.
“Kesalahan adalah berkaitan dengan pelanggaran Perintah 4, 30(a), (b), (c) Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) MPK 2005,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, pelaksanaan waran akan dilaksanakan oleh pihak polis dengan kerjasama pihak MPK.
“Oleh itu, semua pesalah diminta untuk menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau hadir ke Seksyen Undang-Undang, MPK,” katanya. – PAHANGMEDIA