Antara mahasiswa dari empat institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang yang tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri menerima sumbangan daripada Yayasan Pahang berjumlah RM24,000.
120 MAHASISWA TIDAK PULANG BERAYA TERIMA SUMBANGAN YAYASAN PAHANG
Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 7 MEI 2021: Seramai 120 mahasiswa dari empat institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang yang tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri menerima sumbangan daripada Yayasan Pahang berjumlah RM24,000.
Setiap mahasiswa menerima sumbangan melalui program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang menerima barangan keperluan asas dan biskut raya, selain turut menerima duit raya sebanyak RM200 seorang daripada anak syarikat Kerajaan Negeri itu.
Mohamed Mikhail Mohamed
Program tahunan melalui Pusat Khidmat Komuniti Mahasiswa (PKK-M) yayasan itu berlangsung di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini, semalam
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Encik Ab Razak Abu Musa Saari dan turut dihadiri Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.
Semua penerima adalah mahasiswa dari KUIPSAS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Kuantan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP).
Seorang penerima bantuan, Mohamed Mikhail Mohamed, 22, berkata, sumbangan itu dapat menghilangkan sedikit rasa kerinduan kepada keluarganya yang berada di Ayer Hitam, Pulau Pinang.
“Ini kali pertama menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga… Tahun lalu kami mengikuti pengajian secara dalam talian, jadi bolehlah beraya bersama keluarga.
Ahmad Adli Abdul Rahim
“Ini adalah pengalaman baharu untuk saya dan rakan-rakan yang lain dan kita kena terima hakikat bahawa wabak ini memang banyak mengubah cara hidup kita,” katanya yang kini berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah sarjana muda dakwah di KUIPSAS.
Sementara itu, seorang lagi mahasiswa KUIPSAS, Ahmad Adli Abdul Rahim, 21, dari Kuala Terengganu berpendapat sambutan Aidilfitri tahun ini menjadi paling menarik kerana ia adalah pengalaman baru untuknya merasai suasana beraya di perantauan.
Anak sulung dari lima beradik yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah Kehakiman itu belum memikirkan apa yang akan dilakukan pada hari raya pertama nanti. – PAHANGMEDIA