KUANTAN, 6 MEI 2021: Negeri Pahang terus mencatatkan kenaikan kes COVID-19 dengan 433 kes aktif serta tiga daerah dikategori sebagai zon merah termasuk Kuantan yang masih tidak menunjukkan penurunan, sehingga semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam satu kenyataan berkata, dalam tempoh masa yang sama juga, jumlah kumulatif kes positif di Daerah Kuantan adalah sebanyak 1,539 kes dengan jumlah kes aktif adalah sebanyak 199 kes yang terdiri daripada sembilan kluster.
“Daripada 199 kes aktif yang dicatatkan, sebanyak 84 kes daripada saringan bergejala dan kontak rapat manakala sebanyak 115 adalah terdiri daripada kluster sedia ada.
“Berdasarkan data yang dicerap juga, kawasan ‘hotspot’ di Daerah Kuantan adalah luas dan merangkumi pelbagai tempat antaranya ialah Mahkota Heights, Jalan Galing, Tanah Putih Baru, Astaka Village malahan di setiap mukim di daerah Kuantan mencatatkan kes positif,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, ini menunjukkan virus COVID-19 telah berada dalam komuniti dan perkara ini perlu dibendung awal bagi memastikan penularan dapat dikawal dengan baik.
“Jawatankuasa ini sedang meneliti data dengan lebih terperinci seterusnya menyusun strategi untuk menurunkan jumlah kes harian dalam tempoh yang singkat.
“Oleh itu, jawatankuasa ini menyeru warga daerah Kuantan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar peningkatan kes secara mendadak tidak berlaku,” kata kenyataan itu. – PAHANGMEDIA