KUANTAN, 5 MEI 2021: Kerajaan Pahang hari ini menerima sumbangan 400 pek barangan keperluan asas daripada 99 SpeedMart Sdn Bhd untuk disalurkan kepada rumah anak yatim dan pusat penjagaan warga emas di daerah ini.
Gimik penyerahan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang menerima sumbangan berkenaan daripada wakil 99 SpeedMart Sdn Bhd.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Sehubungan itu, Encik Zulkhairi ketika dihubungi berkata, setiap pek berkenaan berharga RM150 dan akan diagihkan secepat mungkin ke 40 buah rumah anak yatim serta pusat penjagaan warga emas.
“Sumbangan ini disampaikan kepada YAB Menteri Besar Pahang sebelum diserahkan kepada JKM sebagai agensi pelaksana untuk diagihkan ke penerima.
“Kita mengalu-alukan sumbangan seperti ini untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Usaha dan komitmen daripada syarikat ini membuktikan mereka sangat prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada golongan memerlukan,” katanya. – PAHANGMEDIA