YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

GLC SUMBANG RM38.6 JUTA KEPADA KERAJAAN PAHANG

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 5 MEI 2021: Kerajaan Pahang menerima sumbangan sebanyak RM38.6 juta daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Pahang untuk tahun 2020.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua sumbangan yang diterima akan disalurkan semula kepada rakyat di negeri ini.

“Penubuhan syarikat-syarikat ini adalah satu langkah ‘back-to-basic’ yang menumpukan kepada aktiviti memanfaatkan sumber terhad utama Negeri Pahang seperti pengurusan tanah, air mentah dan sumber mineral.

“Sumbangan yang GLC bagi kepada kita (Kerajaan Negeri) ini, kita nak serah balik kepada rakyat untuk kegunaan rakyat,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, jumlah sumbangan ini melebihi yang ditetapkan oleh Kerajaan Pahang kepada GLC melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2020.

“Bagi tahun 2020, kita telah menetapkan KPI untuk GLC negeri ini untuk menyumbang kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM33 juta. Pada tahun 2019, jumlah sumbangan GLC ini kepada Kewangan Negeri Pahang adalah sebanyak RM12 juta.

“Kita mengharapkan pada tahun ini, walaupun negara dan dunia masih dilanda kemerosotan ekonomi akibat wabak Covid-19, prestasi semua GLC dapat dikekalkan dalam keadaan yang stabil dan mengekalkan momentum yang sedia ada,” katanya.

Kerajaan Negeri mempunyai sembilan syarikat induk GLC dan 50 anak syarikat bersekutu yang terlibat di dalam pelbagai aktiviti perniagaan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds