YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

COVID-19: KERAJAAN PAHANG MUNGKIN LAKSANA PERATURAN LEBIH KETAT

KUANTAN, 5 MEI 2021: Kerajaan Pahang berkemungkinan terpaksa melaksanakan peraturan yang lebih ketat bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat peningkatan kes sejak dua minggu yang lalu di zon merah, seperti Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub

“Pada tarikh 3 Mei 2021, jumlah kes jangkitan adalah sebanyak 354, namun pada 4 Mei 2021 di Daerah Kuantan sahaja jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 1,470 kes dengan 143 kes aktif yang datangnya dari sembilan kluster berbeza.

“Jumlah saringan yang belum dimuktamadkan adalah sebanyak 647 kes dengan 1,942 orang telah diarahkan untuk dikuarantin di rumah.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru bagi mengekang penularan wabak yang semakin meruncing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Jelas beliau lagi, bagi Mukim Gali dan Tras, Raub, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan akan dikenakan kerana kedua-dua kawasan ini menunjukkan peningkatan kes yang amat ketara.

“Saya memahami pada ketika kita di ambang sambutan Aidilfitri, sudah tentu kita tidak mahu mana-mana perintah sekatan diadakan, namun begitu kita tidak boleh memandang remeh jumlah jangkitan wabak yang secara jelas sedang meningkat dengan drastik.

“Justeru saya menyeru agar anak-anak Pahang sekalian untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab untuk melindungi diri sendiri dan komuniti sekitar agar kadar jangkitan ini dapat diturunkan,” katanya.

Katanya, beliau berharap penduduk di Daerah Kuantan dapat mengurangkan aktiviti dan acara yang melibatkan orang awam, elakkan sebarang perjalanan keluar masuk dari kawasan Kuantan, patuhi SOP yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga jarak antara satu sama lain.

“Jumlah pengunjung di bazar Ramadan dan Aidilfitri juga perlu dikecilkan daripada kapasiti sebelum ini, bagi memastikan kaedah penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan efektif.

“Saya merayu kepada semua anak-anak Pahang agar dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan sekaligus dapat menurunkan kadar jangkitan di negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download