YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Belia Sempena Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan.

DANA KHAS BELIA RM10 JUTA BAKAL DIJADIKAN BANTUAN AWAL PERNIAGAAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 03 MEI 2021: Peruntukan dana khas RM10 juta yang dibentang pada sidang Dewan Negeri lepas bakal dijadikan bantuan awal perniagaan kepada para belia.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagi membantu lebih ramai belia untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

“Peruntukan ini sepertimana dijanjikan dalam Belanjawan Negeri 2021 yang telah dibentangkan pada persidangan Dewan Negeri 16 November tahun lalu.

“Yang turut terkandung dalam Belanjawan Negeri 2021 berkaitan belia ialah peruntukan berupa Dana Khas RM10 juta yang bakal dijadikan sebagai bantuan awal dan pengembangan perniagaan khusus untuk para belia yang melibatkan diri dalam perniagaan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Belia Sempena Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norulazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain.

Beliau berkata, bantuan ini diberikan dalam bentuk bantuan awal perniagaan ini kerana Kerajaan Negeri mahu memastikan bantuan ini digunakan sepenuhnya.

“Kita (Kerajaan Pahang) bagi bantuan dalam bentuk ini kerana kita nak bagi pancing untuk golongan belia, bukan ikan semata-mata.

“Kalau kita bagi ikan, akan habis macam itu sahaja. Tapi kalau kita bagi mereka pancing, mereka boleh guna untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau dalam majlis tersebut juga turut menyampaikan cek berjumlah RM470,000 kepada 26 anggota gabungan MBN Pahang iaitu 11 Majlis Belia Daerah dan bakinya termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri MBN Pahang kali ini juga menyaksikan jawatan Pengerusinya dimenangi oleh Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds