YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) ketika Majlis Soft Opening Hotel Zentih di Tanah Rata.

790,024 PELANCONG BERKUNJUNG KE CAMERON HIGHLANDS TAHUN LALU

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

CAMERON HIGHLANDS, 1 MEI 2021: Seramai 790,024 pelancong direkodkan berkunjung ke Cameron Highlands pada tahun lalu sekaligus mengekalkan kedudukannya di tangga ketiga dari segi jumlah kedatangan pelancong di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail  berkata, walaupun sektor pelancongan dunia terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 , Cameron Highlands terus dikunjungi oleh pelancong.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melakukan tinjauan di Hotel Zentih di Tanah Rata.

“Cameron Highlands terus kekal tempat ketiga daripada segi jumlah kedatangan pelancong manakala Genting Highland mencatatkan kedatangan 3.38 juta orang, dan Kuantan seramai 1.62 juta.

“Walaupun berlaku penurunan bagi dua tahun terakhir ini iaitu 2019 dan 2020 namun ia merupakan fenomena global termasuklah di negara dan negeri ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Soft Opening Hotel Zentih di Tanah Rata, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Hotel Zentih Cameron Highlands, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH. Dato’ Haji Ishak Nafis.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) ketika Majlis Soft Opening Hotel Zentih di Tanah Rata.

Sehubungan itu beliau berkata, pembukaan hotel ini juga dilihat sesuai dengan kadar semasa bagi menampung kehadiran pengunjung di kawasan ini.

“Pembukaan hotel ini memang sesuai dengan kadar semasa, kerana kita tahu ada masa tidak cukul bilik untuk pengunjung datang ke sini.

“Kehadiran pelancong tambah-tambah bila COVID-19 ini mereka tidak boleh ke luar negara jadi sebagai alternatif memilih tempat pelancongan di dalam negara kita dan tidak terkecuali Cameron Highlands.

“Mungkin apabila COVID-19 sudah kurang nanti, pelancong daripada luar negara datang dan sudah pasti sekiranya dengan keadaan infrastruktur yang bagus mereka akan datang membuat pilihan untuk datang ke Cameron Highlands,” katanya.

Mengulas mengenai kemampuan kawasan tanah tinggi ini untuk menampung kehadiran pengunjung, beliau berkata, Cameron Highlands merupakan kawasan yang luas dan dapat menampung kapasiti pengunjung.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang juga mengambil beberapa langkah untuk membantu pemulihan sektor pelancongan di negeri ini termasuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat.

“Jika ramai orang dapat vaksin ini, maknanya kadar jangkitan itu mungkin kita dapat minimakan dan sekaligus boleh memutuskan penularan COVID-19 ini.

“Yang kedua, patuh SOP, penjarakan sosial, basuh tangan, pakai pelitup muka, dan dalam masa yang sama kesedaran kepada semua,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds