Bubu naga yang dirampas oleh APMM di perairan Sungai Ular.
APMM RAMPAS TUJUH SET BUBU NAGA
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 APRIL 2021 : Sebanyak tujuh set alatan menangkap hasil laut jenis bubu naga dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan Sungai Ular semalam.
Pengarah APMM Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran Haji Daud berkata, kesemua alatan yang merupakan alatan terlarang ini merupakan rampasan pertama APMM di perairan negeri ini.
“Semasa rondaan Op Makmur di pesisir pantai Sungai Ular sekitar jam 10.00 pagi, tim ronda telah menemui tujuh set berupa peralatan menangkap ikan yang mencurigakan iaitu bubu naga yang berukuran lebih kurang sepuluh meter panjang setiap set.
“Kesemua bubu tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau dalam kenyataan tersebut turut menggesa komuniti maritim untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya. -PAHANGMEDIA