KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada Fomema Sdn Bhd berjumlah RM720,000 di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

KUTIPAN ZAKAT HARTA TAHUN INI BERADA PADA LANDASAN BAIK – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 30 APRIL 2021: Kutipan zakat harta bagi tahun ini berada pada landasan yang baik iaitu berlakunya peningkatan sebanyak 27.3 peratus atau RM7.6 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bilangan pembayar zakat bagi tahun ini juga meningkat seramai 5,018 orang berbanding tahun lalu.

Baginda bertitah, sehingga 25 April lalu, seramai 75,260 pembayar zakat harta telah membayar zakat dengan jumlah RM35.4 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu seramai 70,242 orang telah menunaikan zakat harta dengan jumlah RM27.8 juta termasuk badan-badan korporat.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Rompin berjumlah RM80,638.45 di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

“Sehingga 25 April 2021, penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah sumbangan daripada sektor potongan gaji dan pendapatan iaitu sebanyak RM20.2 juta dan sumbangan daripada zakat wang simpanan berjumlah RM8.3 juta,” titah baginda menerusi kenyataan akhbar di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Baginda juga bertitah, pada tahun ini Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan bilangan pembayar zakat melalui potongan gaji selaras dengan pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan kakitangan awam dan badan-badan berkanun berzakat melalui potongan gaji.

Titah baginda, tumpuan juga akan diberikan kepada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang untuk membayar zakat perniagaan masing-masing.

KDYMM Tuanku juga bertitah, PKZ juga turut mengoptimumkan seruan pembayaran zakat perniagaan dengan menggalakkan para peniaga dan orang ramai menggunakan aplikasi Bizzakat yang menyediakan daya tarikan melalui promosi perniagaan percuma, baucar diskaun dan pelbagai tarikan lain.

“Dengan sokongan badan-badan korporat dan juga orang ramai, InsyaAllah PKZ Pahang menjangkakan akan berjaya mencapai sasaran kutipan zakat bagi tahun ini iaitu sebanyak RM170 juga dan pembayar seramai 97,000 orang.

“Melalui peningkatan amaun kutipan zakat ini, InsyaAllah akan dapat dinikmati oleh para asnaf melalui peningkatan agihan yang dilaksanakan oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP),” titah baginda.

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada Koperasi Makmur Malaysia Berhad berjumlah RM325,630.70 di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Baginda bertitah, bagi tempoh tahun lalu, kutipan zakat harta yang dapat dikumpulkan bagi seluruh negeri Pahang adalah sebanyak RM158.2 juta melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM153 juga manakala jumlah pembayar zakat harta adalah seramai 92,169 orang berbanding sasaran ditetapkan iaitu 93,000 orang.

Dalam pada itu, di Istana Abdulaziz telah berlangsung Majlis Serahan Zakat Perniagaan daripada badan-badan korporat iaitu Fomema Sdn Berhad dengan serahan zakat perniagaan berjumlah RM720,000; Koperasi Makmur Malaysia Berhad dengan serahan berjumlah RM325,630.70 dan Pertubuhan Peladang Kawasan Rompin dengan RM80,638.45.

Hadir sama pada majlis itu YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, YH Dato’ Ahmad Hairi Hussain.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds