YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama penurusan tertinggi FELCRA Pahang yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Nazrul Izam Mansor (tiga kanan) menunjukkan plakad bayaran dividen Interim 3 bagi Tahun Kewangan 2020 berjumlah RM27,598,127.74 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
11,055 PESERTA FELCRA DI PAHANG TERIMA BAYARAN DIVIDEN INTERIM 3
KUANTAN, 30 APRIL 2021: Seramai 11,055 daripada 23,279 peserta FELCRA di negeri ini menerima bayaran dividen Intrerim 3 bagi bayaran akhir tahun kewangan 2020 berjumlah RM27,598,127.74 yang mula dibayar secara berperingkat mulai 27 April lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kedudukan jumlah dividen keseluruhan Negeri Pahang bagi Tahun Kewangan 2020 adalah berjumlah RM48,147,691.86 dengan agihan dividen dibuat sebanyak tiga kali setahun.
Beliau berkata, peserta dari Ladang Pulau Pasir Mandi di Kawasan Batu Sawar, Temerloh merupakan penerima yang tertinggi dari Interim 3 dari keseluruhan ladang di Malaysia iaitu berjumlah RM6,991.75 bagi setiap peserta dengan keluasan pegangan 1,619 hektar di mana empat ekar bagi setiap peserta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Bagaimanapun menurut beliau, masih terdapat peserta tidak menerima dividen kerana faktor ladang mereka yang terlibat dalam program tanam semula dan penghasilan tidak sepenuhnya atau pra hasil.
“FELCRA Berhad Wilayah Pahang telah pun memajukan tanah seluas 53,530.87 hektar didalam pelbagai kategori pembangunan termasuklah Tanah GSA, Rancangan Tanah Kelompok (RTK), Tanah Milikan Persendirian, Rancangan Orang Asli (ROA) dan Ladang Sejahtera yang melibatkan tanaman kelapa sawit seluas 44,073.45 hektar dan tanaman getah seluas 9,457.41 hektar.
“Saya berharap agihan keuntungan pada hari ini akan memberi sedikit kelegaan kepada peserta-peserta FELCRA Negeri Pahang yang mana pendapatan mereka amat terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak setahun yang lalu,” katanya menerusi siding media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Nazrul Izam Mansor; Pengurus Besar Wilayah Pahang, Tuan Haji Nor Zahari Zakaria dan Ketua Peserta FELCRA Berhad Wilayah Pahang, YH Dato’ Rodzuan Zaaba.
Untuk rekod, kedudukan agihan dividen bagi tahun kewangan 2020 yang telah dibuat mengikut interim adalah RM6,500.153.49 bagi interim pertama dan RM14,049,410.63 bagi interim kedua.-PAHANGMEDIA