Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada penganjuran Apresiasi Usahawan Pahang Young Entrepreneur Program dan Program Usahawan Digital di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan hari ini.
KERAJAAN PAHANG, YAYASAN PAHANG BANTU USAHAWAN HADAPI PASCA COVID-19
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang bersama Yayasan Pahang memikirkan usaha dan inisiatif bagi membantu golongan usahawan kecil dan kontraktor untuk bangkit semula terutama ketika menghadapi pasca Covid-19 ketika ini.
Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, penganjuran Apresiasi Usahawan Pahang Young Entrepreneur Program dan Program Usahawan Digital adalah pada waktu yang tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah menyampaikan hadiah kepada juara Program Usahawan Digital di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM10 juta menerusi Belanjawan 2020/2021 bagi membangunkan usahawan muda di negeri ini.
“Jadi, jangan habis setakat ini sahaja, dah dapat sijil, kita balik dan mulakan perniagaan dan kita boleh kolaborasik kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk usahawan muda dalam bajet 2020/2021,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Usahawan Pahang Young Entrepreneur Program dan Program Usahawan Digital di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya beliau berkata, usahawan digital kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat terutama ketika dunia dilanda wabak Covid-19, baru-baru ini.
Jelasnya, perniagaan digital dengan mengamalkan jual beli tanpa tunai (Cashless) dapat mengurangkan risiko terdedah dan bersentuhan.
Malah katanya, usaha ini juga dapat memupuk ekosistem inovasi yang kondusif bagi menyokong pembangunan para usahawan.
“Saya berharap dengan adanya program seumpama ini, para usahawan akan dapat dibantu dan meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.
“Para perintis yang telah menamatkan latihan diharap akan menjadi usahawan yang berjaya baik dalam segala sektor,” katanya. – PAHANGMEDIA