YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Sijil Malaysia Book Of Record kepada Pengarah APM Negeri Pahang, YS Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman atas kejayaannya dalam misi solo 777 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
777 SEBAGAI APRESIASI PENGHARGAAN KEPADA BARISAN HADAPAN
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 28 APRIL 2021 : Misi solo 777 iaitu 7 gunung 7 negeri 7 hari yang berjaya ditamatkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang, YS Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman merupakan satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
Cabaran yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari termasuklah Gunung Ledang di Johor, Gunung Angsi di Negeri Sembilan, Gunung Hitam di Selangor, Gunung Kerunai di Perak, Gunung Jerai di Kedah, Gunung Sarut di Terengganu dan Gunung Siku di Cameron Highlands.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang, YS Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman menunjukkan Sijil Malaysia Book Of Record atas kejayaannya dalam misi solo 777 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
YS Kolonel (PA) Che Adam berkata, idea pendakian solo ini tercetus bagi mengapresiasikan usaha dan komitmen barisan hadapan yang tidak ternilai setinggi gunung.
“Sepanjang pendakian, saya tidak menghadapi sebarang masalah dan dibantu oleh jurupandu bagi setiap pendakian. Sepanjang seminggu itu juga saya mendapati banyak gunung-gunung yang sangat indah dan cantik tidak pernah dihebahkan dan diterokai umum seperti Gunung Siku yang terletak di Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Sijil Malaysia Book Of Record daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Kunjung Hormat, Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Pada majlis sama Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM20,000 sebagai penajaan apresiasi khas kepada barisan hadapan Malaysia setelah setahun memerangi Covid-19. – PAHANGMEDIA