YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
PENJAWAT AWAM PAHANG DAPAT DUIT RAYA RM1,000
KUANTAN, 28 APRIL 2021: Kerajaan Pahang bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada kesemua kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjawat awam dimaksudkan itu meliputi semua gred, melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM8 juta.
“Pejabat Kewangan Negeri akan segera melakukan urusan susulan agar pembayaran dapat dibuat pada 7 Mei ini.
“Turut mendapat pemberian ini sebagai sagu hati Kerajaan Negeri, ialah penjawat awam Persekutuan bergred JUSA C dan ke atas, yang berkhidmat di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikannya pagi tadi.
Menurut beliau, ia dibuat berasaskan kemampuan kewangan negeri serta sikap peduli Kerajaan Negeri terhadap rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam sekalian.
“Adalah diharapkan wang pemberian ini dapat digunakan sewajarnya,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar Badan-badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan turut membuat pemberian yang serupa kepada pegawai dan kakitangan masing-masing. – PAHANGMEDIA