Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 APRIL 2021: Seramai 45 pengunjung sebuah restoran di Jalan Teluk Sisek di sini dikenakan tindakan kompaun kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.
Turut dikompaun adalah penjaga premis berkenaan atas kesalahan sama dengan nilai kompaun RM10,000.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hasil maklumat risikan ketidakpatuhan SOP, kesemua mereka didapati tidak mematuhi penjarakan fizikal di antara pelanggan dan tidak mengimbas kod MySejahtera.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebilangan besar pelanggan di restoran tersebut gagal mematuhi SOP PKPP kemaskini 19 April 2021 iaitu tiada penjarakan fizikal satu meter di antara pelanggan dan tidak membuat imbasan Kod QR MySejahtera.
“Siasatan mendapati dua individu tidak membuat imbasan Kod QR MySejahtera dan salah seorang cuba menipu dengan tunjukkan Kod QR di kedai yang sama tetapi tarikh 21 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua 38 lelaki dan tujuh wanita itu dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,500 sehingga RM2,000 seorang di bawah kesalahan Kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal.
Menurut beliau lagi, pihaknya kesal dengan sikap peniaga dan pelanggan yang tidak peduli dan tidak mematuhi SOP.
“Ada yang masih tidak faham dan konon dakwa tidak tahu SOP jarak satu meter. Keadaan yang sangat rapat dan ramai pada meja-meja yang tidak boleh dikompromi. Jika dilihat bersentuhan sedangkan ada banyak meja kosong.
“Penjaga kedai juga dikompaun kerana gagal memastikan pelanggan patuhi SOP. Ada alasan menyatakan sudah memberi nasihat tapi pelanggan tidak mahu dengar.
“Pihak polis bukan suka untuk mengambil tindakan, tetapi demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Kita jaga kita, kami jaga semua,” katanya. – PAHANGMEDIA