Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini menerima sumbangan barangan keperluan ibadah untuk kegunaan pesakit di hospital berkenaan daripada sebuah syarikat swasta, KS Legacy Trading, baru-baru ini.
HOSHAS TERIMA SUMBANGAN BARANGAN KEPERLUAN IBADAH
TEMERLOH, 26 APRIL 2021: Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini menerima sumbangan barangan keperluan ibadah untuk kegunaan pesakit di hospital berkenaan daripada sebuah syarikat swasta, KS Legacy Trading, baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh ikon usahawan, Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir yang juga merupakan Penerbit Eksekutif Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. kepada Timbalan Pengarah 3 HOSHAS, Dr. Safaridah Anuar.
Antara barangan ibadah yang disumbangkan adalah spray mesra solat lebih 100 botol, debu tayamum 200 botol , 70 biji troli dan wang tunai sejumlah RM7,000 untuk kegunaan Ramadan kali ini.
Menurut Ustaz Muhammad Al-Fadzil, sebelum ini, beliau terlihat iklan memerlukan barangan keperluan untuk beribadah bagi pesakit di hospital dan terpanggil serta mencari insiatif untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir yang juga merupakan Penerbit Eksekutif Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. menyampaikan sumbangan barangan keperluan ibadah kepada Timbalan Pengarah 3 HOSHAS, Dr. Safaridah Anuar.
“Acara sebegini memang sudah kita lakukan saban tahun sejak dahulu lagi. Kalau dahulu kita memberikan tumpuan kepada keluarga yang memerlukan, tapi kini kita beri keutamaan kepada Unit Hospital Mesra Ibadah, HOSHAS.
“Kita beri senyuman kepada petugas barisan hadapan tetapi dalam masa yang sama kita mahu pesakit juga diraikan. Dengan adanya kelengkapan ibadah sebegini, akan memudahkan lagi mereka untuk menunaikan kewajipan kepada Allah.
“Bila mereka diuji dengan kesakitan, agak membataskan pergerakan. KS Legacy berharap agar dengan sumbangan ini akan memudahkan urusan semua yang berada di wad dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, sumbangan makanan dan barangan keperluan harian akan terus diberikan setiap hari kepada anak yatim, fakir miskin dan mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 100 bungkus makanan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan pelawat di semua hospital dalam beberapa daerah di Pahang, 150 beg bantuan asas juga diberikan kepada keluarga yang memerlukan.
Bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 013-2988303 dan 019-3026460 dalam program usaha amal bersama Kembara Sufi. – PAHANGMEDIA