Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LIPIS, 24 APRIL 2021 : Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Yayasan Pahang menerusi Kerajaan Pahang menyumbangkan sebanyak RM161,600 kepada sekolah, Rumah Baiti Janati dan masjid serta surau di kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai.
Sumbangan sebanyak RM145,000 daripada TNB diserahkan kepada Kerajaan Negeri merangkumi bantuan Ceria Ke Sekolah berjumlah RM20,000 kepada sekolah- sekolah di bawah Parlimen Cameron Highlands manakala sebanyak RM25,000 disumbangkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai dan SK Kuala Medang.

Turut menerima sumbangan daripada TNB ialah Rumah Baiti Janati yang menerima surat tawaran bernilai RM65,000 yang diserahkan kepada Encik Mohd Afsham Aiman Yaacob.
Pada majlis sama turut diadakan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Jelai yang membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM16,600 sumbangan Yayasan Pahang di Dewan Dato’ Sri Wan Rosdy, Kampung Tanjung Gahai, di sini.

Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Sungai Koyan telah menerima sebanyak RM1,000 sumbangan manakala 13 lagi masjid kariah masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500.
Selain itu, sebanyak 32 surau termasuk surau di perkampungan Orang Asli turut menerima sumbangan RM300 bagi setiap surau.
Sepanjang tempoh 37 tahun bermula 1983 hingga 2020, Yayasan Pahang telah membelanjakan sejumlah RM1.35 bilion yang telah memanfaatkan seramai 1.74 juta penerima.
Kesemua sumbangan bantuan telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. – PAHANGMEDIA