YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan media pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Dewan Negeri Jelai dengan kerjasama Yayasan Pahang oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Felda Sungai Koyan 1, Lipis, hari ini.

KERAJAAN PAHANG MAHU ‘HALALKAN’ PERLOMBONGAN EMAS DI LIPIS  

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUALA LIPIS, 24 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang cuba ‘menghalalkan’ perlombongan emas di atas tanah milik persendirian penduduk di negeri ini khususnya di Daerah Lipis bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri dan pemilik tanah tidak mengalami sebarang kerugian atau ‘win win situation’.
 
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya akan berusaha membantu penduduk bagi menghalalkan kerja-kerja perlombongan bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan dilakukan.
 
Beliau berkata, usaha untuk membantu penduduk terlibat adalah perlu bagi memastikan ianya sah di sisi perundangan kerana enakmen undang-undang Kerajaan Negeri yang menyatakan bahawa sebarang hasil galian di negeri ini adalah milik kerajaan.
 
“Jadi, kita (kerajaan) tidak menghalang tetapi kita hendak ‘menghalalkan’ supaya Kerajaan Negeri tidak mengalami kerugian dan juga pemilik tanah boleh menjual hasil mereka kepada pembeli yang sah,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang DUN Jelai dengan kerjasama Yayasan Pahang oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Felda Sungai Koyan 1, di sini, hari ini.
 
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor, Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long, ADN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan Ahli Dewan Negara, Puan Siti Fatimah Yahaya.
 
Ditanya tentang status tanah pekebun Musang King di Daerah Raub, beliau menjelaskan bahawa kes berkenaan masih di bawah perintah mahkamah dan pihaknya masih menunggu sebelum dapat mengambil tindakan sewajarnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download