Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.

HANYA TIGA KATEGORI DIBENARKAN RENTAS NEGERI

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 APRIL 2021: Hanya tiga kategori sahaja yang dibenarkan untuk mendapat kebenaran merentas negeri tetapi ia tertakluk kepada arahan baharu yang dikeluarkan semalam.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, surat kebenaran rentas negeri ini hanya dikeluarkan untuk pergerakan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

“Kita telah mendapat satu arahan terkini daripada pihak Bukit Aman bahawa surat kebenaran rentas negeri ini hanya dikeluarkan untuk pergerakan pada hari Isnin hingga Khamis. Ini bermakna rentas untuk pergerakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak akan dikeluarkan melainkan kecemasan.

“Contohnya, pertama, kematian yang melibatkan saudara terdekat; kedua, untuk mendapatkan rawatan hospital di waktu kecemasan dan ketiga, hanya diberi kepada mereka yang mempunyai suami atau isteri yang jarak jauh.

“Jadi mereka yang mempunyai tiga kategori ini sahaja dibenarkan atau diberikan kelulusan oleh pihak polis. Itu pun Isnin hingga Khamis. Jumaat, Sabtu , Ahad tidak akan diberikan,” katanya ketika Temubual Khas Bersama Ketua Polis Pahang Berkenaan SOP Covid-19 di Pahang FM hari ini.

Beliau berkata, ini kerana kelulusan merentas negeri yang diberikan sebelum ini dilihat menjadi penyebab timbulnya kluster baharu di lapangan.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga telah berbincang dengan kumpulan task force Kerajaan Negeri mengenai contoh rentas negeri yang menyebabkan kluster baharu yang dipanggil Kluster Seri Kuantan.

“Kluster Seri Kuantan yang melibatkan dalam masa seminggu dua ini terdapat 32 kes positif yang mana asalnya daripada dua orang lelaki yang datang daripada Kuala Lumpur yang dikatakan mempunyai urusan rasmi ke Kuantan tetapi apabila di Kuantan mereka meraikan sambutan hari lahir pada malam hari.

“Jadi mereka ini yang datang dari Kuala Lumpur membawa penyakit ini daripada Kuala Lumpur dan telah menjangkiti 32 ahli keluarga mereka yang tidak kena mengena dalam wabak ini tetapi sekarang kena kuarantin dan positif dan masih dalam rawatan.

“Jangan jadi macam Kluster Seri Kuantan ni sudah 32 kes dan ia sudah terlambat. Pada saya ramai menyusahkan dan di sini pihak polis dan pihak pegawai Kesihatan Daerah (PKD) akan mengambil tindakan mengeluarkan kompaun ke atas siapa yang membawa gejala ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds