BAZAR RAMADAN BALOK DIBENARKAN BEROPERASI SEMULA

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 APRIL 2021: Bazar Ramadan Balok yang ditutup sementara Ahad lepas kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pengoperasian bazar telah dibenarkan beroperasi semula semalam.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, kebenaran semula pembukaan bazar berkenaan diberikan setelah pihaknya melihat SOP perjalanan bazar telah diperkemaskan.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin

“Kita memberi kebenaran untuk membuka bazar tersebut semalam sambil memantau sama ada pihak bazar mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Setakat pemantauan kita semalam, kita dapati pihak penganjur bazar telah mengikut garis panduan yang ditetapkan, begitu juga peniaga dan pengunjung bazar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri yang tidak mematuhi SOP di daerah ini.

“Kita akan sentiasa memantau pematuhan SOP di semua bazar yang ada bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang. Namun demikian, mana-mana bazar yang tidak mematuhi SOP yang digariskan akan diarahkan tutup buat sementara waktu.

“Malah, mana-mana bazar yang pengunjung mahupun peniaganya didapati positif COVID-19, akan ditutup sepenuhnya selama tiga hari bagi tujuan pembersihan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download