Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda (dua dari kanan) ketika mengadakan Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Persisiran Pantai di Pantai Sepat, di Kuantan hari ini

SWCORP GERAK PEKERJA DAERAH LAIN, TANGANI ISU PUNGUTAN SAMPAH DI KUANTAN

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 16 APRIL 2021: Kerajaan Pahang telah mengarahkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang supaya melaksanakan penyusunan semula jadual kutipan sampah termasuk menggerakkan pekerja dari daerah lain bagi perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah di Kuantan agar perkhidmatan tersebut tidak terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, arahan tersebut dibuat kerana Kerajaan Pahang memandang serius terhadap isu pungutan sampah di seluruh Daerah Kuantan yang melibatkan syarikat konsensi berkenaan.
 
Beliau berkata, keadaan ini timbul apabila seramai lapan pekerja Alam Flora Sdn Bhd telah disahkan positif COVID-19 manakala seramai 558 pekerjanya juga diarah kuarantin sehingga disahkan bebas virus berkenaan.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.


 “Bagi mengatasi masalah ini, pihak SWCorp dan Alam Flora telah melaksanakan inisiatif lain dengan mendapatkan bantuan daripada daerah lain untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan. Memang sehari dua ini agak terganggu tetapi InsyaAllah dalam waktu terdekat ini perkara tersebut dapat diatasi,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Persisiran Pantai di Pantai Sepat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Tuan Sharudin Hamid.
  
Sementara itu, Tuan Sharudin turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan plastik sampah diikat dengan betul dan kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelak bau yang tidak menyenangkan.

Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Tuan Sharudin Hamid.


 “Kita minta penduduk supaya mengikat sisa sampah dengan betul dan kalau boleh sisa yang boleh dikitar semula diasingkan dan jika tidak keberatan boleh membuang sampah di tong sampah berpusat dalam tempoh sehari dua ini jika kutipan sampah belum dibuat,” katanya.
 
Sehubungan itu, YH. Dato’ Hamdan berkata, orang ramai juga diminta mengemukakan sebarang aduan kepada pihak MBK dan SWCorp bagi sebarang kesulitan untuk memudahkan tindakan diambil serta menyusun strategi bagi mengatasi isu ini.


 
“Daripada semakan kita bersama dengan SWCorp mendapati berdasarkan kepada bantuan yang diterima daripada daerah-daerah lain, prestasi Alam Flora di lapangan telah mencapai 60 peratus.
 
“Ini bermaksud sudah banyak kawasan yang dapat diselesaikan dan kita yakin akan dapat lebih bantuan daripada 40 pemandu yang dibenarkan untuk turun membantu. Kita menjangka prestasi Alam Flora akan mencecah 80 hingga 100 peratus menjelang Ahad nanti,” katanya – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds