Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

KERAJAAN PAHANG SOKONG SEKOLAH PONDOK

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 16 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang sentiasa menyokong pengoperasian sekolah pondok yang dijalankan di negeri ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kerajaan Negeri menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dengan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuklah kewangan kepada sekolah-sekolah pondok di seluruh Pahang.
 
“Di Pahang ini, kita ada maahad tahfiz, kita ada pondok, semua itu berlatarbelakangkan sistem pondok dan mendapat sambutan daripada ibu bapa dan pelajar,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media, di sini semalam.
 
Beliau berkata, sistem sekolah pondok di negeri ini tidak mengabaikan sistem pendidikan moden yang telah dirancang bagi memenuhi kehendak semasa.
 
Justeru katanya, penubuhan sekolah pondok di negeri ini mendapat sambutan yang baik bukan sahaja pihak kerajaan malah agensi-agensi kerajaan juga turut terlibat dalam membangunkan sekolah pondok.
 
“Yayasan Pahang juga memberi bantuan tertentu kepada pondok-pondok tahfiz seperti bantuan ‘one-off’ dan peruntukan khas.
 
“Jadi, sekolah pondok ini mungkin boleh diberikan peruntukan seperti mana sekolah agama negeri tetapi pentadbirannya mestilah sama dengan sekolah agama negeri seperti Al-Khiriah, Al-Ehsan, Al-Maidah dan Maahad Sultan Ahmad Shah, jadi mereka perlu berada di bawah pentadbiran itu, kita kena kenalpasti bajet serta infrastruktur perlu ada perbincangan,” katanya.
 
Beliau berkata, terdapat 142 sekolah pondok di seluruh Pahang sama ada yang telah mendaftar mahu pun belum mendaftar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds