Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (dua dari kanan) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato' Sri Haji Sh Mohmed Puzi Sh Ali (kiri) membantu mengagihkan sumbangan makanan kepada penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Peramu Jaya, Pekan.

PKPD PERAMU JAYA: 12,000 PENDUDUK YANG TERKESAN TERUS DIBERI BANTUAN

Oleh Mahathir Ali

PEKAN, 14 APRIL 2021: Seramai 12,000 penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Peramu jaya terus menerima sumbangan bantuan makanan termasuk daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Di-Pertua MUIP di atas perkenan menghulurkan sumbangan zakat MUIP kepada penduduk di Peramu Jaya yang terlibat dalam PKPD ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kanan) membantu anggota tentera menyusun sumbangan makanan untuk penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Peramu Jaya, Pekan.

“Untuk makluman, dianggarkan lebih 12,000 penduduk daripada 2500 rumah terlibat PKPD di sini meliputi lima kawasan iaitu Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Taman Sepekan Makmur, Kampung Pulau Serai dan Perkampungan Peramu Jaya 3.

“Sudah tentu ianya bukan satu kerja yang mudah untuk mengagihkan bantuan dan menyelesaikanya dalam masa yang singkat. Tambahan pula PKPD ini terpaksa dilakukan segera bermula 9 April lalu hingga 22 April ini berikutan arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Maka dalam kesuntukan masa yang ada sudah tentu segala urusan pengagihan bantuan dari segi logistik, pembelian, operasi dan anggota yang terlibat juga akan mengalami beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sebelum itu, beliau bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh Mohmed Puzi Sh Ali turun padang untuk bersama-sama membantu menyampaikan bantuan makanan sumbangan MUIP kepada 1,287 ketua isi rumah yang terlibat PKPD di Peramu Jaya.

Beliau memberitahu, dijangkakan kesemua bantuan MUIP ini akan selesai diagihkan kepada semua 2,500 isi rumah menjelang petang hari ini.

“Penduduk yang terkesan ini juga akan menerima bantuan susulan dari Kerajaan Pahang yang akan mula diagihkan selepas ini seperti yang diminta oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Selaku EXCO Kerajaan Pahang yang juga ADN Bebar, sudah tentu ianya antara tanggungjawab saya untuk membantu kepimpinan Peramu Jaya bagi menyelesaikan segera misi pengagihan bantuan ini.

“Tambahan pula PKPD ini terjadi di bulan Ramadan maka semua penduduk yang terlibat harus dipastikan mendapat bekalan makanan yang mencukupi segera bagi membantu mereka untuk bersahur dan berbuka puasa,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Pahang amat memahami masalah rakyat dan akan melakukan yang terbaik untuk membela nasib semua rakyat di negeri ini.

“YAB Menteri Besar Pahang sendiri setiap hari mahukan laporan terkini keadaan PKPD di Peramu Jaya ini. Beliau akan memikirkan cara yang terbaik bagi membantu rakyat. Begitu juga YB Ahli Parlimen Pekan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds