Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika melakukan lawatan pematuhan SOP di bazar Ramadan di Tapak Bazar Stadium di Kuantan.

BAZAR RAMADAN, BAZAR AIDILFITRI DIKAWAL KETAT PASTIKAN SOP DIPATUHI

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 APRIL 2021: Setiap lokasi penganjuran bazar meliputi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri ini dikawal ketat bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, ini kerana pihaknya bimbang akan berlakunya kes jangkitan jika SOP tidak dijaga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

“Paling utama adalah pemeriksaan kesihatan di pintu masuk bazar dan kita juga melihat dari segi kebersihan oleh para peniaga. Kita bimbang kalau tidak patuh SOP, kes akan meningkat, kita semua tidak boleh raya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan pematuhan SOP di bazar Ramadan di Tapak Bazar Stadium di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin; Setiausaha Bahagian (Bahagian Kerajaan Tempatan), Puan Ismayati Ismai; dan Ahli Majlis MBK, YH. Dato’ Wan Solihi Wan Hassan.

Beliau berkata, terdapat 59 bazar di seluruh negeri ini dengan 26 lokasi daripadanya adalah di daerah Kuantan.

“Bagi SOP di bazar, pihak penganjur perlu memastikan orang ramai mematuhi penjarakan fizikal selain mengawal jumlah kehadiran di setiap bazar.

“Di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), kita percaya dengan pengalamannya mengendalikan situasi ini dapat banyak membantu kelancaran dan pematuhan di bazar,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran bazar di negeri ini tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada untuk meneruskan atau menutup operasi jika pematuhan SOP tidak diikuti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika melakukan lawatan pematuhan SOP di bazar Ramadan di Tapak Bazar Stadium di Kuantan.

“Kalau ada pelanggaran dari segi SOP, dan pihak MKN tidak berpuas hati dengan pematuhan SOP di bazar-bazar, maka keputusan menutup operasi bazar akan dikeluarkan oleh pihak MKN,” katanya.

Tinjauan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) mendapati pengunjung mematuhi SOP dengan mengambil suhu dan mengimbas suhu sebelum memasuki bazar.

Pihak penganjur bazar juga dilihat menyediakan pas masuk dengan nombor kepada setiap pengunjung bagi mengawal jumlah penghujung yang masuk ke bazar dalam satu-satu masa selain hanya satu laluan masuk dan keluar disediakan dengan dikawal oleh petugas. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds