YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menunjukkan baucer RM1,000 kepada pendaftar Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) yang terpilih.

KERAJAAN PAHANG BERI INSENTIF RM1,000 KEPADA PENDAFTAR SICP

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 APRIL 2021: Kerajaan Pahang memberikan insentif sebanyak RM1,000 kepada pendaftar Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) yang terpilih.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, insentif ini diberi untuk menggalakkan lebih ramai rakyat negeri ini mendaftar di dalam sistem berkenaan.

“Untuk menggalakkan lebih ramai orang mendaftar di dalam sistem SICP, Kerajaan Pahang telah menawarkan cabutan nombor bertuah kepada pendaftar-pendaftar yang berjaya pada setiap nombor ke-50,000 dan ke-100,000.

“Untuk melayakkan mendapat cabutan bertuah, mereka mesti mendaftar terlebih dahulu dalam SICP, kedua, penuhkan maklumat yang dikehendaki dan berikan persetujuan untuk divaksin,” katanya.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak

Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman cabutan pemenang nombor bertuah Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang di Pusat Gerakan Operasi Imunisasi COVID-19 Pahang, Blok C, SUK Pahang, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, sistem SICP yang dibina Kerajaan Pahang ini merupakan pemudah cara bagi pendaftaran penerimaan vaksinasi melalui MySejahtera.

“Sistem SICP ini bukanlah satu persaingan untuk MySejahtera tetapi ia untuk memudahkan pendaftaran dijalankan. Semua yang mendaftar di dalam SICP akan dimudahkan pendaftaran mereka di dalam MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat dua pemenang yang merupakan pendaftar ke-50,000 dan ke-100,000 yang akan diberikan baucer yang boleh digunakan di Pasaraya Tunas Manja (TMG) atau Pasaraya Darul Makmur (PDM).

“Pemenang bagi nombor ke-50,000 ialah Muhammad Azizi bin Haji Khalid yang beralamat di Perumahan Peramu Jaya 3, Pekan manakala bagi nombor ke-100,000 pula ialah Muhammad Amin bin Muhammad Zain yang beralamat di Genting Highland.

“Kedua-dua pemenang boleh menuntut baucer mereka pada hari Rabu ini iaitu bagi Muhammad Azizi, boleh ke Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Pekan, dan bagi Muhammad Amin boleh ke Pejabat Daerah Kecil Genting,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendaftar penerimaan vaksinasi di bawah SICP ini melalui tiga medium iaitu mendaftar di pusat vaksin, melayari laman web vaksin.pahang.gov.my, atau menghubungi Pusat Vaksin Pahang di talian 1-800-22-8040. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds