Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin (kiri) ketika merasmikan Cafe Amani Vanilla Temerloh (AVT), di Temerloh.
KERAJAAN PAHANG BANTU PROMOSI AGROPELANCONGAN PAHANG
Oleh : Fansurina Abdullah
TEMERLOH, 11 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang berusaha membantu mempromosikan agropelancongan di negeri ini sebagai tarikan produk terbaharu sektor pelancongan dengan slogan ‘This is Pahang’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, kerajaan sentiasa menyokong sebarang usaha dalam memperkenalkan Pahang ke peringkat tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika merasmikan Cafe Amani Vanilla Temerloh (AVT), di Temerloh.
Beliau berkata, produk terbaharu di daerah Temerloh iaitu perusahaan vanila yang diusahakan oleh pengusaha muda, Encik Muhamad Feisal Mohamed Norawi yang mendapat sambutan daripada pelbagai pihak termasuklah pengunjung yang ingin melihat sendiri perusahaan vanila tersebut.
“Kita bangga kerana vanila Temerloh adalah antara vanila yang dikenali di seluruh Malaysia malah di seluruh dunia.
“Difahamkan bahawa ada juga pembeli-pembeli vanila ini datang ke mari untuk membeli vanila pot iaitu biji vanila untuk dibuat aiskrim dan lain-lain lagi produk vanila,” katanya kepada media selepas Merasmikan Cafe Amani Vanilla Temerloh (AVT), di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika merasmikan Cafe Amani Vanilla Temerloh (AVT), di Temerloh.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, YH Dato’ Ishak Mokhtar dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh, YH Dato’ Haji Abu Hanipah Majid.
Beliau berkata, vanila juga merupakan komoditi yang bernilai tinggi dengan antara RM1,200 hingga RM1,500 bagi setiap kilogram dan tidak memerlukan kawasan yang luas untuk diusahakan.
Sementara itu, YH Dato’ Ishak berkata, pihak Tourism Pahang sentiasa menyokong promosi produk-produk pelancongan termasuklah Amani Vanila Temerloh (AVT) untuk diketengahkan kepada pengusaha pelancongan dan pelancong dari luar.
“Pihak Tourism Pahang merancang rangka promosi menerusi pelbagai kaedah termasuklah laman web selain membawa agen pelancongan dan media ke AVT sebagai langkah memperkenalkannya kepada orang ramai,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika merasmikan Cafe Amani Vanilla Temerloh (AVT), di Temerloh.
Selain AVT di Temerloh, beberapa lokasi pelancongan terbaharu di Pahang turut giat dipromosikan seperti Kuantan Art Street dan Menara 188 di Kuantan, Tasik Biru di Muadzam Shah, Taman Negara Merapoh di Lipis dan lokasi pelancongan sedia ada seperti Titik Tengah Semenanjung dan Kuala Gandah juga di Temerloh.
Menurut Encik Mohamad Feisal, terdapat seramai 500 petani vanila yang telah dilatih oleh AVT dan mereka kini berusaha menempatkan nama Malaysia agar dikenali sebagai pengeluar vanila di peringkat antarabangsa di samping memenuhi permintaan bagi pasaran komoditi produk vanila. – PAHANGMEDIA