Ahli Parlimen Pekan, YB Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak ketika menyampaikan suratan hak milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) FELCRA Dewan Negeri Bebar kepada penduduk.
TERIMA KASIH MB PAHANG TUNAI JANJI BERI RTK FELCRA – DATO SRI NAJIB RAZAK
Oleh Mahathir Ali
PEKAN, 10 APRIL 2021: Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak berterima kasih kepada Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang telah menunaikan janji memberi suratan hak milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) FELCRA Dewan Negeri Bebar kepada penduduk yang layak.
Beliau juga bangga melihat kejayaan Kerajaan Pahang hari ini yang mampu memperolehi lebihan hasil berjumlah RM178 juta dan mempunyai rizab simpanan kewangan berjumlah RM280 juta yang memungkinkan pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan dan bantuan kepada rakyat mampu diberikan.
“Saya juga bersyukur kerana FELCRA yang ditubuhkan oleh Ayahanda Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1964 terus berjaya mencapai matlamatnya untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduk kampung menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara sekaligus mampu meningkatkan taraf hidup mereka.
“Terima kasih juga kepada Menteri Besar Pahang yang menunaikan menunaikan janji memberi suratan hak milik ini kepada penduduk kampung rakyat negeri Pahang,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan suratan hak milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) FELCRA Dewan Negeri Bebar bagi kawasan Kampung Padang Rumbia, Kampung Serambi dan Kampung Pulau Rumput di Dewan Kampung Padang Rumbia di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak ketika menyampaikan suratan hak milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) FELCRA Dewan Negeri Bebar kepada penduduk.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, semua yang dilaksanakan hari ini adalah jasa pemimpin terdahulu.
“Jangan kita lupa jasa-jasa mereka. Pemberian RTK hari ini juga merupakan jasa mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad yang mengusahakannya bersama Menteri Besar dan kepimpinan sebelum ini.
“Selepas saya mengambil alih sebagai ADN Bebar, saya meneruskan segala usaha mereka yang tertangguh demi kebaikan semua pihak.
“Selaku ADN Bebar, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada YB Ahli Parlimen Pekan diatas kesudian menyempurnakan penyampaian suratan hak milik ini. Terima kasih juga kepada semua sahabat saya, ADN Pulau Manis, ADN Chini dan ADN Peramu Jaya yang turut hadir,” katanya. – PAHANGMEDIA