YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika membeli makanan di gerai milik pasangan pesara tentera di Tapak Hadapan Arked Kraftangan di Brinchang.

PASANGAN PESARA TENTERA TERUJA MENTERI BESAR DATANG MEMBELI DI GERAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 10 APRIL 2021 : Pasangan pesara tentera yang kini berniaga makanan goreng di sini melahirkan rasa teruja apabila menerima kunjungan YAB Menteri Besar Pahang ke gerai mereka.

Pasangan, Siti Aishah Ahmad dan Mohd Zuber Yusof, masing-masing berusia 60 tahun, yang berniaga di Tapak Hadapan Arked Kraftangan di Brinchang tidak menyangka pelanggan mereka pada hari ini merupakan Menteri Besar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika membeli makanan di gerai milik pasangan pesara tentera di Tapak Hadapan Arked Kraftangan di Brinchang.

“Kami rasa terkejut bila lihat Menteri Besar datang membeli makanan di gerai kami. Rasa seronok dapat jumpa Menteri Besar depan-depan macam hari ini.

“Rasa teruja juga bila Menteri Besar datang tengok sendiri kami berniaga, beliau bertanya khabar kami, dan bertanya masalah yang kami hadapi,” ujar pasangan yang memiliki gerai Mak Ngah Ex-Army ini.

Pasangan yang meniaga jualan gorengan seperti pisang goreng, jemput pisang, kentang putar goreng, dan lain-lain sejak tujuh tahun lepas turut melahirkan perasaan lega setelah bercerita mengenai masalah yang dihadapi mereka.

“Rasa lapang dada, rasa lega sangat bila boleh bercerita dengan Menteri Besar terus apa masalah yang kita hadapi.

“Tambah bila Menteri Besar mendengar luahan kami, ini dah cukup buat hati kami lapang. Ini juga buktikan Menteri Besar sentiasa ambil berat pasal rakyat di negeri ini,” kata mereka.

Pasangan ini turut meluahkan kebimbangan kerana kekurangan pelanggan kebelakangan ini disebabkan pandemik COVID-19 yang menjejaskan satu-satunya hasil pendapatan mereka.

“Dulu sehari bolehlah dapat RM200, tapi sekarang nak dapatkan RM100 sehari pun susah. Ada hari yang dapat tak sampai RM50 pun.

“Sedangkan tapak gerai ini kena bayar RM100 sebulan, tak termasuk modal bagi barang jualan dan lesen meniaga RM265 setahun.

“Kami ini pun nasib baik, tak payah bayar sewa rumah atau bilik kerana kami menumpang tidur di loteng kedai yang tidak beroperasi sejak dua tahun lepas,” menurut pasangan ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut memberikan sedikit sumbangan bagi membantu perniagaan pasangan ini dan membeli jualan di gerai berkenaan.

“Hari ini kita bagi pemilik gerai berehat awal, sebab saya difahamkan gerai buka dari 8 pagi sehingga 7 petang. Tapi hari ini kita bagi mereka rehat awal,” ujar beliau di gerai berkenaan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds