Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 09 APRIL 2021: Bantuan awal persekolahan daripada Kerajaan Pahang sebanyak RM100 menjadi pembakar semangat kepada 1,400 murid Tahun 1 di daerah ini untuk belajar bersungguh-sungguh.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, pemberian ini juga sebagai salah satu cara menggalakkan murid supaya hadir ke sekolah.

“Bagi sumbangan ini, kalau boleh ianya menjadi semangat kepada anak-anak. Jadi sudah tentulah ibu bapa dapat memberitahu dan memaklumkan bahawa pentingnya juga sokongan kewangan ini.
“Kadang kita pergi sekolah, maklumlah budak-budak, yang saya tahu, kasut tak cukup sepasang setahun, paling kurang pun dua pasang. Kadang-kadang beg pun begitu juga, tak tahan juga setahun satu (beg) ini.
“Jadi pemberian ini dapat mereka gunakan untuk pergi ke sekolah. Jadi walaupun sedikit namun ianya memberi manfaat kepada anak-anak ini khususnya membakar semangat untuk mereka ini jangan tak datang sekolah, pergi sekolah dan dapat bersama kawan-kawan lain di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Tahun 1 Sesi 2021 Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang ‘One-Off’ RM100 di Balairaya Kampung Ulu Atok, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemberian sumbangan pada hari ini juga menjadi medium antara beliau dengan para ibu bapa dalam merancang pendidikan anak-anak di kawasan ini.
“Disamping itu juga, kita juga dapat berjumpa dengan ibu bapa pada hari ini sebab kita dah setahun lebih dikekang oleh COVID-19 dan tidak dapat mengadakan program dan pada hari ini, kita nampak ibu bapa ternanti-nanti, tertunggu-tunggu, untuk mendapatkan maklumat baru dari segi pendidikan untuk keluarga dan juga pembangunan pendidikan di dalam daerah.
“Jadi itu yang kita tekankan dan dengan adanya bantuan ini, perjumpaan ini, kita dapat mengajak ibu bapa bersama-sama untuk merancang anak-anak mereka dalam pendidikan agar mereka ini memperolehi kejayaan dalam pendidikan anak-anak masing-masing,” katanya.
Semalam beliau menyampaikan bantuan kepada 310 penerima yang merupakan murid Tahun 1 di tujuh kampung iaitu di Surau Kampung Satak yang melibatkan 58 murid dari SK Satak dan SK Ulu Sungai; di Dewan Felda Tersang 2 melibatkan 114 murid SK Felda Tersang 1 dan SK Felda Tersang 3; dan 26 murid dari SK Tersang dan SK Batu Talam di Balairaya Kampung Tersang.
Turut menerima bantuan pada hari ini ialah 22 murid dari SJKC Cheroh dan SJKT Cheroh di Balairaya JKKKB Cheroh; 21 murid dari SK Kundang Patah dan SK Kuala Semantan di Balairaya Kampung Ria; 31 murid dari SK Chenua dan SK Sega di Dewan Kampung Chenua dan 38 murid dari SK Ulu Atok dan SK Kuala Atok di Balairaya Kampung Ulu Atok. -PAHANGMEDIA