Ketua Pengarah JKKN YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop melihat buku pada Majlis Perasmian Perpustakaan JKKN Pahang di Kuantan hari ini.

JKKN LULUS RM77,000 UNTUK PENGGIAT SENI BUDAYA DI PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 08 APRIL 2021: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM77,000 kepada enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya di negeri ini untuk melaksanakan aktiviti serta program pada tahun lalu.

Ketua Pengarah JKKN YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop berkata, pada tahun lalu pihaknya menerima sebanyak 12 permohonan daripada NGO seni budaya di Pahang namun hanya enam yang diluluskan selepas dinilai oleh pihaknya.

Ketua Pengarah JKKN YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop.

“Justeru bagi yang berminat untuk memohon insentif seni ini, mereka perlu mendaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966 atau berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa.

“Antara insetif seni yang ditawarkan oleh JKKN adalah berbentuk kewangan, ruang, kepakaran dan khidmat nasihat serta promosi melalui medium digital dan media sosial,” katanya dalam media selepas Majlis Perasmian Perpustakaan JKKN Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif ini adalah untuk memberi sokongan, dorongan serta galakan kepada penggiat seni dalam menghasilkan sesuatu karya atau produk yang melibatkan kos rendah tetapi berimpak tinggi sekaligus menggalakkan kandungan tempatan yang baharu.

Sementara itu, mengenai Perpustakaan JKKN ini, beliau berkata, sebanyak 400 buku-buku koleksi terbitan JKKN dan seni budaya lain akan ditempatkan di sini bagi dijadikan bahan rujukan untuk orang ramai.

“Dengan adanya perpustakaan yang selasa dan santai ini, saya harapkan agar lebih banyak NGO, pengkaji-pengkaji, pelajar kolej serta universiti dan pelajar sekolah mengunjungi perpustakaan ini.

“Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik, JKKN Pahang akan bekerjasama dengan Perpustakaan Awam Negeri Pahang dalam memberi latihan kepada kakitangan cara menguruskan perpustakaan,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download