Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin pada Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Tahun 2021 di Lobi Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di Kuantan, hari ini.

KADAR PERMIT PERNIAGAAN BAZAR RAMADAN KEKAL – MBK

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 07 APRIL 2021: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengumumkan kadar permit perniagaan bagi bazar Ramadan di daerah ini kekal iaitu antara RM180.50 sehingga RM300.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, kadar bagi jualan makanan dan minuman adalah sebanyak RM180.50, RM280.50 bagi jualan air tebu dan kelapa manakala RM300 untuk jualan pelbagai.

“Waktu perniagaan bagi bazar Ramadan adalah dari jam 3 petang hingga 8 malam yang bermula pada 13 April hingga 12 Mei dan aktiviti yang dibenarkan adalah bagi jualan makanan dan minuman sahaja.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.

“Waktu perniagaan bagi bazar Aidilfitri adalah dari jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam bermula 17 April hingga 12 Mei dan aktiviti yang dibenarkan adalah bagi jualan barang kering dan pelbagai sahaja. Tidak dibenarkan jualan makanan dan minuman termasuklah jualan air dan buah-buahan di dalam tong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Tahun 2021 di Lobi Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, berdasarkan SOP yang dikeluarkan, tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri akan ditutup selama tiga hari bagi proses pembersihan sekiranya ada pelanggan atau pekerja yang didapati positif COVID-19.

“Peniaga juga hendaklah mengehadkan bilangan kemasukan pelanggan dengan menetapkan dua orang pelanggan sahaja boleh berada di khemah atau premis jualan pada satu-satu masa serta menyediakan pas khas bagi peniaga dan pembantu jualan serta pengunjung.

“Selain itu, penganjur juga perlu memastikan terdapat kawalan pintu masuk dan keluar secara berasingan serta pergerakan di dalam kawasan perniagaan adalah secara sehala,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak MBK juga menggalakkan para pembeli berurus niaga menggunakan pembayaran tanpa tunai.

“Pada tahun ini pihak majlis turut bekerjasama dengan pihak Maybank bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan pembelian secara cashless buat semua peniaga bazar Ramdan dan bazar Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membatalkan permit perniagaan peniaga bazar Ramadhan dan bazar Aidilfitri yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds