Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1442H / 2021M di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.

MUIP AGIH RM10 JUTA BAGI IMARAH RAMADHAN DAN SYAWAL

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali

PEKAN, 7 APRIL 2021: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan RM10 juta kepada masjid, golongan asnaf dan mualaf di seluruh negeri ini bagi mengimarahkan lagi sambutan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3.5 juta diagihkan kepada semua 666 masjid dan surau di negeri ini termasuk Masjid Negeri, masjid daerah, masjid kariah dan surau Jumaat.

“Masjid Negeri akan menerima bantuan sebanyak RM50,000, 26 masjid daerah akan menerima RM260,000 manakala sebanyak 553 masjid kariah pula menerima RM2.765 juta dan 86 surau Jumaat akan menerima RM430,000.

“Kesemua sumbangan ini diagihkan bagi membantu masjid dan surau mengimarahkan sambutan bulan puasa yang akan disambut nanti,” katanya dalam sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1442H / 2021M di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain

Beliau berkata, pada tahun 2019 sebanyak RM3.3 juta telah diagihkan dan jumlah tersebut bertambah pada tahun 2021 menjadikan jumlahnya RM3.5 juta.

“Selain itu, MUIP turut mengagihkan bantuan menyambut Hari Raya sebanyak RM4.658 juta kepada seramai 11,151 orang fakir dan miskin serta RM1.88 juta kepada 10,501 Mualaf di seluruh negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pada tahun lalu, sebanyak RM6.199 juta kutipan zakat fitrah berjaya dikumpul dengan jumlah pembayar seramai 1.012 juta orang.

Daripada jumlah tersebut seramai 688,587 orang telah membuat bayaran zakat menerusi atas talian manakala hanya seramai 323,486 sahaja yang melunaskan bayaran menerusi amil yang disediakan pada minggu terakhir Ramadan.

“Situasi ini menunjukkan orang ramai sudah dapat mengadaptasi suasana norma baharu khususnya dalam membuat bayaran zakat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds