Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain (dua dari kiri) pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1442H / 2021M di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.
KADAR ZAKAT FITRAH PAHANG RM7
Oleh: Fansurina Abdullah Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali
PEKAN, 7 APRIL 2021: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi seluruh Negeri Pahang adalah RM7 bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain berkata, kadar tersebut telah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku ketua agama Islam di negeri ini.
“Dalam suasana pandemik COVID-19 ini, orang ramai boleh membuat bayaran zakat fitrah bermula awal Ramadan menerusi dua tiga kaedah yang diperkenalkan oleh MUIP iaitu menerusi capaian ezakat.muip.gov.my dan kaedah kedua menerusi aplikasi PahangGo.
“Bagi kaedah ketiga pula, seramai 942 amil telah ditauliahkan bagi melaksanakan urusan kutipan zakat di negeri ini dengan penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di semua kaunter bayaran zakat fitrah ini,” katanya dalam sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1442H / 2021M di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain (tiga dari kiri) pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1442H / 2021M di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.
Tambah beliau lagi, orang ramai khususnya umat Islam digalakkan membuat pembayaran zakat fitrah menerusi atas talian atau aplikasi PahangGo bagi mengawal penularan wabak pandemik COVID-19 terutama ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada ketika ini.
“Umat Islam yang memilih untuk membuat bayaran zakat menerusi amil pula perlu memastikan bahawa amil tersebut telah ditauliahkan oleh MUIP bagi mengelakkan penipuan,” jelasnya.
Beliau juga meminta agar orang ramai patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa ketika berada di kaunter zakat bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing. – PAHANGMEDIA