YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima cenderamata pada Majlis Perasmian Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di Hotel Zenith di Kuantan hari ini.

KERAJAAN PAHANG PAHANG SAMBUT BAIK KEMBALIKAN LALUAN ASAL PROJEK ECRL

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 06 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan mengembalikan semula laluan asal jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang sepertimana yang telah dirancang sebelum ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang telah berusaha sejak dahulu lagi supaya jajaran asal ini dikembalikan.

“Memang kita usahakan dari dulu lagi. Alhamdulillah dan kita minta dan dapat balik laluan pada asalnya. Jajaran asal ini dibuat dan ia telah pun dikaji, bukan kata kita letakkan itu (jajaran) dengan sewenang-wenangnya.

“Sebelum kita letakkan jajaran itu, kita telah kaji, cuma diubah oleh Pakatan Harapan semasa mereka memerintah dan sekarang (laluan) kembali kepada asal balik,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di Hotel Zenith di sini hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.

Kementerian Pengangkutan (MOT) membuat keputusan mengembalikan jajaran asal Seksyen C projek ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang yang juga dikenali sebagai ECRL 3.0 itu sebagaimana jajaran asal yang dicadangkan pada tahun 2016-2017.

Jajaran asal atau Jajaran Utara ini akan melalui Bentong, Gombak dan Serendah telah diluluskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 September 2020 dan kabinet pada 31 Mac lepas mahu pelaksanaan tersebut dilaksanakan serta-merta.

Jarak bagi Jajaran Seksyen C ECRL 3.0 ini dianggarkan 201 kilometer termasuk 32.4 kilometer jajaran sisihan berbanding sebelum ini iaitu 185.5 kilometer yang termasuk dengan 41.5 kilometer jajaran sisihan.

Jajaran Utara ini akan membabitkan pembinaan tujuh buah stesen dalam jangka masa panjang, dengan lima buah stesen akan dibina pada peringkat awal iaitu stesen Temerloh, Bentong, ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam di Pelabuhan Klang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download