YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menandatangani plak sebagai tanda perasmian Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di Hotel Zenith di Kuantan hari ini.
KERAJAAN PAHANG BANTU BAIKI RUMAH RAKYAT UZUR
Oleh: Ain Nadhirah Basha Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 06 APRIL 2021: Kerajaan Pahang akan membantu membaik pulih rumah-rumah rakyat di negeri ini yang uzur dan rosak termasuk yang terjejas akibat banjir, dijangka bermula Jun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik dalam memastikan kerja baik pulih ini dapat dijalankan.
Antara penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021.
“Kita memikirkan bahawa terdapat banyak lagi rumah yang perlu dibaiki dan ini juga kita sedang bincangkan, sedang fikirkan dan InsyaAllah dalam masa yang terdekat saya akan buat pengumuman untuk bantu membaiki rumah-rumah yang keadaannya sudah agak teruk tetapi tidak perlu dibina baru, tetapi cuma perlu di baiki sahaja.
“Kita akan umumkan dalam masa terdekat. Dalam masa tak sampai dua bulan kita akan bagitahu. Kita nak tahu kaedah, nak cari kaedah paling baik supaya kboleh elakkan pembaziran duit rakyat.
“Rumah yang perlu dibaiki banyak tapi saya tidak mendapat angka yang tepat tapi banyak. Itu yang saya terpaksa mengkaji berapakah peruntukan untuk diberi kepada rumah-rumah yang perlu dibaiki ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di Hotel Zenith di sini hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut beliau lagi, kriteria bagi penerima di bawah kerja baik pulih rumah ini akan diperoleh daripada laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh Pahang.
“Senarai nama itu mungkin boleh diperolehi daripada Tok Empat atau juga dari wakil rakyat kawasan. Rumah ini termasuklah rumah yang terjejas akibat banjir untuk kita baiki. Keperluan itu berbeza-beza, bukan semua rumah sama, yang pastinya rumah itu memang perlu dibaiki,” katanya.
Sehubungan itu, Kerajaan Pahang kini sedang memikirkan untuk menambah jumlah RRP di negeri ini.
“Dan kita sedang memikirkan untuk menambah lagi, sebelum ini, kita bagi seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) dua buah rumah, tahun ini kita teruskan dan InsyaAllah pada pertengahan tahun ini kita akan tambah dua buah rumah lagi.
“Nilai peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Pahang bagi 103 unit RRP bagi tahun ini adalah sebanyak RM6.747 juta di mana bertambah sebanyak RM377,000 berbanding tahun 2020,” katanya. -PAHANGMEDIA