Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 6 APRIL 2021: “Terima kasih Kerajaan Pahang bantu kami, dapatlah meringankan beban ditanggung terutama ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini,” itu kata ibu bapa yang gembira selepas anak mereka menerima sumbangan ‘one-off’ RM100 kepada murid tahun satu Pahang menerusi program Bantuan Prihatin Pahang hari ini.

Program itu menyaksikan seramai 556 murid tahun satu dari 14 buah sekolah di dalam Dewan Negeri (DN) Bebar menerima sumbangan wang RM100 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM57,600 dalam satu majlis di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli yang menjadi wakil rasmi Ahli Dewan Negeri (ADN) YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang.

Menurut seorang penerima, Maslina Khatar, 25, bantuan persekolahan disumbangkan itu amat bermakna terutama buat anaknya, Anira Rosaini, 7, yang ingin membeli barang keperluan untuk ke sekolah.
“Saya tidak bekerja dan suami pula hanya kerja kampung, sekali gus kami berasa amat beruntung apabila anak kami terpilih menerima bantuan ini. Bantuan persekolahan diterima ini meringankan beban saya dan suami,” katanya yang tinggal di Kampung Meranti di sini.
Seorang lagi penerima, Asliati Osmam 30, berkata, untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anaknya, Helmi Rashid, 7, dia sekeluarga perlu berjimat-cermat dalam perbelanjaan harian.

“Sumbangan itu amat bermakna untuk kami sekeluarga dan ia mengurangkan beban untuk membiayai persekolahan. Bagi saya ia sangat membantu. Walaupun nampak sikit, tapi pada saya ia begitu banyak,” kata Orang Asli Suku Jakun itu.
Bagi Rapidah Komet, 32, bantuan berkenaan dapat menampung perbelanjaannya terutamanya dalam keadaan sekarang dengan wabak COVID-19.
“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana mengumumkan bantuan ini. Terima kasih sekali lagi dengan bantuan ini. Saya begitu menghargainya,” katanya.

Sementara itu, YH Dato’ Zaliza berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban penerima dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka. – PAHANGMEDIA