Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 06 APRIL 2021 : Sebuah hub pembangunan sarung tangan getah dan produk Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang akan dibina di Gebeng pada tahun ini dijangka dapat memberikan peluang pekerjaan kepada 500 anak tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), YBhg Encik Mohd Faizal Jaafar berkata, pihaknya akan meminta pihak terlibat supaya mendahulukan anak Pahang untuk bekerja di kawasan perindustrian ini.
“Peluang pekerjaan untuk fasa pertama ini, kita dapat maklumat sehingga 500 orang dan kita akan minta supaya didahulukan peluang pekerjaan ini terutamanya kepada anak-anak Pahang. Itu harapan besar kita.
“Kita berharap lagi cepat lagi baguslah (kemajuan projek) sebabnya ianya akan memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk di negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Bersama World Gloves International Group City & Hub Development Sdn Bhd (WGC) di AC Marriot, di sini, semalam.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg Encik Mohd Faizal Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif WGC, YH. Dato’ Gianluca Ernesti dengan disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Menurut beliau lagi, hub pembangunan yang merangkumi sembilan fasa ini akan di bina di atas tanah seluas 128.29 hektar di Kawasan Perindustrian Gebeng melibatkan pelaburan sebanyak RM100 juta.

“Hub pembangunan ini ada sembilan fasa, jadi yang dengan PKNP ini adalah fasa yang pertama, di atas tanah seluas 317 ekar milik PKNP dan kita harap selepas ini apabila dia (WGC) telah memulakan operasi, kita (PKNP) akan berbincang untuk fasa-fasa selanjutnya.
“Kalau boleh untuk negeri Pahang ini, kita nak fasa-fasa ni dapat dibuat di negeri Pahang. Sebabnya akan membawa banyak kebaikan terutamanya kepada rakyat di Pahang dan juga ianya akan membantu perkembangan ekonomi kepada Kuantan dan juga negeri Pahang. Itulah yang kita harapkanlah,” katanya.
Beliau berkata, hub pembangunan ini dijangka akan dimulakan pada Jun tahun ini dan selesai pada Disember dengan jangka masa enam bulan.
Tambah beliau lagi, pembuatan sarung tangan getah dan PPE ini mensasarkan psaran Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara. -PAHANGMEDIA