YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada imam-imam kariah Negeri Pahang di Dewan Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah di Pekan, hari ini.
RM774,000 DIPERUNTUK BAGI BANTUAN PRIHATIN PAHANG KEPADA 1,032 IMAM KARIAH
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 02 APRIL 2021 : Seramai 1,032 imam kariah di negeri ini menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) melibatkan peruntukkan sebanyak RM774,000.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan hal berkaitan agama Islam di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 kepada Imam-Imam Kariah Negeri Pahang di Dewan Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, hari ini.
“Seramai 1,032 orang imam-imam kariah seluruh Pahang menerima bantuan RM750 seorang pada hari ini dan ini adalah sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka .
“Bantuan secara one-off ini pertama kali saya umumkan semasa membentang Belanjawan Negeri 2021 yang lalu yang turut melibatkan bilal dan siak serta guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 kepada Imam-Imam Kariah Negeri Pahang di Dewan Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Haji Mahmud; ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain; dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Selain itu, beliau berkata, seramai 2,978 guru KAFA serta 888 bilal dan siak turut mendapat bantuan one-off daripada Kerajaan Pahang.
“Dan tidak lupa juga kepada guru-guru KAFA di sekolah dan asrama, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan bantuan secara one-off berjumlah RM300 seorang dengan nilai peruntukkan sebanyak RM893,400.
“Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan sumbangan secara one-off ini kepada 888 bilal dan siak di seluruh negeri Pahang iaitu sebanyak RM250 seorang,” katanya. -PAHANGMEDIA