YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan geran tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar kepada seorang penerima pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.
KERAJAAN PAHANG CARI JALAN KURANGKAN TEMPOH PROSES PEMILIKAN TANAH PERTANIAN TERANCANG
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 02 APRIL 2021 : Kerajaan Pahang akan mencari jalan bagi mengurangkan tempoh proses bagi urusan pemilikan tanah berkaitan pertanian terancang di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi ini turut melibatkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dan RTK Khas.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff turut sama menyerahkan geran tanah pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.
“Dan ini adalah lagi satu usaha Kerajaan Negeri bagaimana untuk membantu rakyat mendapatkan tanah yang akan dibangunkan oleh agensi Kerajaan iaitu Felcra dan penantian mereka selama 14 tahun telah selesai.
“Bagi saya 14 tahun itu satu jangka masa yang panjang, saya sangat berkeyakinan masih ada ruang yang boleh dipendekkan lagi.
“Dan kita akan lihat di mana faktor-faktor yang menyebabkan kelewatan dan kelambatan proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Dewan Negeri (DN) Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; ADN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Haji Mahmud; ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain; Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Pahang, YH. Haji Nor Zahari Zakaria.
Beliau dalam majlis yang sama turut menyampaikan sumbangan daripada Felcra kepada 643 peserta sebanyak RM500 seorang.
“Walaupun belum siap sepenuhnya dan atas keperihatinan Felcra, mereka telah bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM500 untuk perbelanjaan semasa bulan puasa dan semasa menyambut hari raya. Ini adalah sebagai tanda ingatan ikhlas.
“Dan ini (keputusan) dibuat bila pihak YB ADN kawasan, ADN Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin bangkitkan tadi, saya berbincang dengan Felcra, dan mereka ada peruntukkan dan kita telah mendapat kelulusan.
“Ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban yang ditanggung oleh peserta-peserta Felcra. Dan kita akan bagi untuk semua peserta. Kita kena bagi semua tak boleh pilih-pilih. Lebih kurang RM300,000 lebih. Bolehlah bantu sikit,” katanya.
Seramai 370 peserta menerima suratan hak milik pada hari ini dan bakinya iaitu 100 peserta lagi akan menerima suratan hak milik mereka pada 10 April ini yang dijadualkan disampaikan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.
“Untuk hari ini, kita serahkan dahulu kepada 370 peserta dari RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput,” katanya. -PAHANGMEDIA