Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Johari Haji Hussain ketika memeriksa kemudahan pekerja di Blok RSC9, Genting Highlands Resort, di Bentong, hari ini.
KERAJAAN PAHANG PERIKSA 853 PREMIS MAJIKAN BENDUNG KLUSTER TEMPAT KERJA
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 MAC 2021: Sebanyak 853 premis majikan dengan melibatkan seramai 36,305 pekerja diperiksa di seluruh negeri ini dalam Ops Perakuan Penginapan Akta 446 bagi tempoh 1 Februari hingga 23 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Johari Haji Hussain berkata, daripada 853 majikan itu, hanya 89 majikan sahaja yang mematuhi Akta 446 dan peraturan-peraturan di bawah akta.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Johari Haji Hussain ketika memeriksa kemudahan pekerja di Blok RSC9, Genting Highlands Resort, di Bentong, hari ini.
“Hampir 90 peratus majikan yang telah diperiksa didapati gagal mematuhi Akta 446 iaitu sebanyak 623 majikan dan telah diberikan notis pematuhan dan perlu mengambil tindakan segera agar tidak didakwa.
“Mana-mana majikan yang didapati gagal memohon perakuan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 di bawah Seksyen 24D (3) dan mana-mana penyedia penginapan berpusat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24D (4), (Akta 446),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan Operasi Perakuan Penginapan di Bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang diadakan di Resident Staff Centre, Genting Highlands Resort, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang, Encik Pezman Che Husin, Pengarah PERKESO Pahang, Tuan Haji Tarmizi Mukhtar dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Puan Wan Sarimah Awang.
Beliau berkata, sebanyak 34 kertas siasatan telah dibuka sepanjang operasi dilaksanakan dalam tempoh tersebut bagi tujuan pendakwaan.
“Kebanyakan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 24D (1), Akta 446 iaitu berkaitan kegagalan pihak majikan membuat permohonan dan mendapat perakuan penginapan daripada JTK.
“Kertas siasatan ini masih dalam tindakan pihak jabatan dan akan dibawa kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mendapat izin dakwa atau pun kompaun,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 360 permohonan perakuan penginapan telah diterima dan sebanyak 52 Perakuan Penginapan yang melibatkan 2,101 unit penginapan telah dikeluarkan bagi tahun 2021.
YB. Dato’ Sri Haji Johari berkata, pihak kerajaan Pahang sangat komited melaksanakan operasi ini apabila negara mencatatkan sebanyak 527 kluster yang membabitkan tempat kerja.
Malah katanya, tindakan ini bukan bertujuan menghukum mana-mana majikan sebaliknya ingin memastikan majikan dapat menyediakan penginapan yang sesuai dan selamat kepada pekerja serta bebas daripada penularan jangkitan COVID-19.
Beliau meminta agar majikan-majikan dapat mengambil tindakan segera dengan menyediakan penginapan pekerja yang selamat, selesa dan kondusif kepada pekerja dan memohon Perakuan Penginapan daripada JTK Pahang dengan kadar segera.
Operasi tersebut diadakan secara tersusun dan bersepadu telah dilaksanakan dengan penglibatan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, PERKESO, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). – PAHANGMEDIA