Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman ketika melakukan lawatan ke 11 tapak cadangan laluan bagi Kajian Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands, semalam.

HASIL KAJIAN JALAN PINTASAN CAMERON HIGHLANDS DIBENTANG SEPTEMBER

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

CAMERON HIGHLANDS, 30 MAC 2021: Hasil kajian bagi pembinaan jalan pintasan Cameron Highlands untuk mengurangkan kesesakan di kawasan pelancongan tanah tinggi itu akan dibentangkan pada September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, hasil kajian ini akan meliputi kawasan laluan, jarak laluan, kos pembinaan dan lain-lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman

“Kajian ini dijangka mengambil masa selama 13 bulan dan hasilnya akan dibentang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada bulan September 2021.

“Projek ini yang akan dilaksanakan oleh JKR, akan diangkat kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan bagi kelulusan untuk memuktamadkan hal-hal berkaitan tanah,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke 11 tapak cadangan laluan bagi Kajian Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini pihak perunding telah mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif namun kesemua laluan tersebut masih dalam proses perbincangan.

“Bagi laluan alternatif, ia akan melibatkan laluan sedia ada di mana laluan tersebut akan dibesarkan atau dinaiktaraf dan pintasan akan dibuat di kawasan tertentu.

“Tetapi buat masa sekarang, ketiga-tiga laluan yang dicadangkan masih boleh diubah, mungkin sebahagian laluan A, kita akan guna separuh sebelum diteruskan ke laluan B. Ini akan mengikut kesesuaian dan hasil kajian yang dijalankan,” katanya.

Beliau berharap projek ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di kawasan pelancongan selain dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya harap lokasi terlibat dapat penyelesaian awal selain projek ini boleh meminimakan impak terhadap alam sekitar di kawasan terlibat dan semua pihak dapat memberi kerjasama yang terbaik demi manfaat kita bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds