Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman ketika melakukan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands, semalam.
HOSPITAL SULTANAH HAJAH KALSOM BERPOTENSI JADI PELANCONGAN KESIHATAN
Oleh: Ain Nadhirah Basha Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 30 MAC 2021: Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini berpotensi untuk dijadikan hospital berkonsepkan pelancongan kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, ini berikutan beberapa faktor yang dilihat bersesuaian dengan hospital berkenaan termasuk kapasiti pengguna lebih rendah iaitu kira-kira 30 peratus penggunaan katil di hospital setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman ketika melakukan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands, semalam.
“Selain itu, hospital ini juga mempunyai perkhidmatan mesin hemodalisis di mana menggunakan 60 peratus daripada kapasiti yang ada.
“Hospital ini juga menawarkan perkhidmatan rawatan perubatan alternatif dan komplimentari meliputi urutan, akupuntur dan lain-lain, di mana ia merupakan satu-satunya hospital di Pahang yang menawarkan rawatan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan lawatan kerja dan mendengar taklimat di Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini, semalam.
Beliau berkata, kesemua perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital yang dibina pada 2008 dengan jumlah katil sebanyak 40 buah ini dapat membantu aktiviti pelancongan di Cameron Highlands.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
“Kita boleh tawarkan mana-mana individu yang dalam proses perubatan untuk datang bercuti di sini kerana biasanya bila tak sihat macam perlukan rawatan hemodalisis, kita sukar untuk dapatkan rawatan di destinasi pelancongan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Pahang memberi perhatian kepada masalah perkhidmatan kesihatan di kampung-kampung Orang Asli di kawasan pedalaman.
“Kita Kerajaan Negeri akan beri perhatian dalam meningkatkan perkhidmatan di kawasan kampung Orang Asli yang kedudukannya agak jauh dan terpaksa dimasuki dengan cara berjalan kaki oleh pasukan kesihatan,” katanya. -PAHANGMEDIA