Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan hadiah kepada johan qariah Puan Norhanani Ayob pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1442H/2021M di Kuantan, malam tadi.
NORHANANI ANGGAP JOHAN QARIAH SEBAGAI REZEKI MENGANDUNG
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 MAC 2021 : Johan Qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1442H/2021M, Puan Norhanani Ayob, 26 tahun, menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki anak apabila beliau kini sedang mengandung enam bulan.
Beliau yang merupakan johan menunggu dari Daerah Bentong mengakui sedikit mencabar dalam seni bacaannya tambahan pula keadaannya yang sedang mengandung, namun beliau bijak mengatur bacaan supaya dapat disesuaikan dengan pernafasan dan kemampuannya.
Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan hadiah kepada johan qari Huzaifah Abdul Sukir pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1442H/2021M di Kuantan, malam tadi.
“Saya cuba menyesuaikan harkat bacaan dengan pernafasan saya yang sedikit pendek kerana sedang mengandung enam bulan,” katanya yang memperoleh 86.50 markah.
Beliau yang juga bertugas sebagai guru mengaji akan berusaha memperbaiki kelemahan bacaannya sebagai persediaan mewakili Negeri Pahang pada peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 13-18 Jun 2021 depan di ibu negara.
Sementara itu, Johan qari dari Daerah Maran, Huzaifah Abdul Sukir, 32 tahun, mengakui terkejut sebaik sahaja diumumkan sebagai johan qari kerana beliau pernah kecundang pada tilawah al-Quran tahun lalu.
Johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1442H/2021M, Puan Norhanani Ayob.
“Saya memang tidak menjangkakan kemenangan, kerana pada tahun lalu saya hanya mendapat saguhati,” katanya.
Selepas kekecewaan pada tahun lalu, Huzaifah yang juga imam di Masjid Felda Bukit Sagu 1, Kuantan, telah menggandakan usaha dalam memperbaiki bacaannya sebelum dinobatkan sebagai johan qari sekali gus mewakili Negeri Pahang ke peringkat kebangsaan.
Beliau yang memperoleh 85 markah mengakui akan terus berusaha sebaik mungkin bagi mengharumkan nama Pahang di peringkat kebangsaan terutama dalam memperbaiki kualiti bacaannya.
Johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1442H/2021M, Huzaifah Abdul Sukir.
Kedua-dua qari dan qariah membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewakili kekandanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri; Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz. – PAHANGMEDIA