YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan bertanyakan sesuatu kepada bekas anggota polis Encik Ariffin Mat Dris yang berusia 110 tahun pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
BEKAS ANGGOTA POLIS 110 TAHUN PERNAH BERKHIDMAT DI ZAMAN BRITISH, JEPUN
Oleh: Fansurina Abdullah Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 25 MAC 2021: Seorang bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini berusia 110 tahun merupakan antara penerima Anugerah Khas pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, pagi tadi.
Penerima tersebut, Encik Ariffin Mat Dris memulakan tugas sebagai anggota polis sejak berusia 17 tahun dan ditugaskan di Kampung Tanjung Buluh, Kuala Lipis.
Beliau kemudiannya ditukarkan ke Negeri Kelantan dan pernah bertugas di Balai Polis Meranti, Pasir Mas dan Rantau Panjang ketika negara sedang meraikan kemerdekaan pada tahun 1957.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Anugerah Khas kepada bekas anggota polis Encik Ariffin Mat Dris yang berusia 110 tahun pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
“Sebelum negara mengecapi kemerdekaan, saya pernah berkhidmat sebagai anggota polis ketika zaman British dan Jepun,” katanya ketika ditemui media.
Pada majlis itu beliau menerima Anugerah Khas dengan membawa pulang sijil serta wang saguhati sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan beliau selama berkhidmat di dalam badan beruniform itu sebelum era kemerdekaan hinggalah saat negara mengecapi kemerdekaan.
Beliau yang kini menetap di Kampung Kerambit, Kuala Lipis, mempunyai 13 anak dan 40 cucu berhasrat meneruskan perjuangannya menerusi cucunya yang sedang berkhidmat sebagai anggota polis.
Encik Ariffin ditemani anaknya, Encik Kamarulzaman Ariffin, 47 tahun, memaklumkan bahawa ayahnya masih lagi sihat meskipun tinggal bersendirian selepas ibunya meninggal dunia.
“Ayah masih aktif dan sihat dengan mengamalkan pemakanan seperti ulaman dan sayur menjadikan dia masih kuat walau sudah berusia 110 tahun,” katanya yang merupakan anak ketujuh daripada 13 beradik.
Beliau berkata, selepas ayahnya pencen, beliau hanya melakukan kerja kampung seperti berkebun yang juga turut menyumbang kepada kesihatan Encik Ariffin sehingga kini. – PAHANGMEDIA